
KUALA LUMPUR, 10 April – Negara kini memerlukan komitmen kolektif semua pihak bagi memastikan kestabilan ekonomi terus terpelihara, khususnya dalam mendepani krisis bekalan tenaga susulan ketidaktentuan geopolitik global.
- Kerjasama antara kerajaan, rakyat dan sektor perniagaan diperlukan; bertindak rasional dan berhemah urus penggunaan sumber serta perbelanjaan.
- Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga memberikan kelebihan relatif berbanding negara lain.
- Ketidaktentuan global menyukarkan pemulihan infrastruktur tenaga, ancam bekalan dan pasaran; kerajaan perlu strategi dan pendekatan dasar lebih dinamik.
Kerjasama itu menuntut kerajaan, rakyat serta sektor perniagaan bertindak secara rasional dan berhemah dalam mengurus penggunaan sumber serta perbelanjaan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga memberi kelebihan relatif berbanding negara lain di rantau ini.
“Buat masa ini, kerajaan sentiasa menilai cabaran tersebut dan melaksanakan pelarasan secara beransur-ansur bagi mencapai keseimbangan, termasuk memastikan penggunaan minyak lebih cekap serta mengekalkan harga bahan api bersubsidi,” katanya ketika dihubungi RTM.
Bagaimanapun, beliau berkata situasi global yang tidak menentu menyebabkan tempoh pemulihan infrastruktur tenaga sukar diramal.
Tambah beliau situasi itu sekali gus memberi kesan berpanjangan kepada bekalan dan pasaran tenaga dunia.
Menurutnya, peningkatan perbelanjaan subsidi juga berkemungkinan berlaku, justeru kerajaan perlu sentiasa menilai semula strategi bagi memastikan kestabilan ekonomi terus terjamin.
“Situasi ini masih tidak pasti bila akan berakhir, namun kemungkinan peningkatan kos subsidi itu memang ada dan memerlukan pendekatan dasar yang lebih dinamik,” katanya.