
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Perkembangan konflik di Asia Barat dijangka tidak memberi kesan serta-merta terhadap sektor minyak dan gas Malaysia, memandangkan negara ini bukan pengimport utama komoditi tersebut berbanding negara lain.
- Sektor minyak dan gas Malaysia tidak akan terjejas serta-merta kerana negara bukan pengimport utama komoditi itu.
- Jika konflik berlarutan, penutupan laluan seperti Selat Hormuz boleh meningkatkan kos logistik dan menjejaskan pendapatan eksport.
- Konflik membuka peluang meningkatkan hasil eksport, tetapi memerlukan perancangan strategik dan pertimbangan keselamatan tenaga jangka panjang.
Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique bagaimanapun berkata, sekiranya konflik atau ketegangan itu berlarutan, ia berpotensi memberi kesan kepada pendapatan negara kerana Malaysia merupakan antara pengeksport minyak dan gas utama dunia.
“Malaysia sebagai pengeluar minyak dan gas berhadapan dengan risiko ketidaktentuan arah laluan untuk membekalkan gas dan minyak tersebut. Sekiranya Selat Hormuz ditutup, syarikat perkapalan dan logistik nasional harus mengambil kira laluan lain dan sudah tentu ia akan meningkatkan kos,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, situasi tersebut turut membuka peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan hasil eksport tenaga, susulan permintaan global yang lebih tinggi.
Namun menurutnya, peluang itu perlu dimanfaatkan secara berhati-hati menerusi perancangan strategik yang menyeluruh, selain mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap kestabilan ekonomi serta keselamatan tenaga negara.
Harga minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$80 setong pada awal dagangan, berbanding harga penutup AS$72.87 setong pada Jumaat.
Harga minyak melonjak di pasaran Asia pada Isnin susulan ketegangan di Asia Barat, selepas serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.