Konflik Asia Barat : Malaysia Airlines lanjut penggantungan penerbangan ke Doha

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan sementara perkhidmatan penerbangannya ke Doha sehingga 20 Mac ini susulan perkembangan semasa berkaitan persekitaran keselamatan di rantau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerbangan ke Doha digantung sejak 28 Februari akibat penutupan ruang udara berikutan konflik.
  • Malaysia Airlines memantau keadaan melalui penilaian risiko berterusan dan maklumat NOTAM sebelum menyambung operasi.
  • Syarikat meningkatkan kapasiti pesawat badan lebar laluan Asia dan Eropah untuk menyokong sambungan penumpang.
  • Perkhidmatan ke Jeddah, Madinah, London dan Paris kekal seperti dijadualkan; keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan yang masih tidak menentu.

Penerbangan ke Doha sebelum ini digantung bermula 28 Februari lalu susulan penutupan ruang udara di kawasan yang terjejas akibat konflik.

Menurut Malaysia Airlines, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa secara rapi melalui penilaian risiko berterusan serta maklumat daripada Notis kepada Juruterbang (NOTAM) sebelum membuat keputusan untuk menyambung semula operasi.

Pada masa sama, syarikat penerbangan itu meningkatkan kapasiti pesawat badan lebar bagi laluan antara Asia dan Eropah bagi menyokong perjalanan sambungan penumpang.

Penerbangan berkenaan juga akan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan yang terjejas.

Malaysia Airlines turut memaklumkan bahawa semua perkhidmatan lain termasuk ke Jeddah, Madinah, London dan Paris kekal beroperasi seperti dijadualkan.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaan tertinggi kami,” menurut kenyataan itu.