Konflik Asia Barat: Diplomasi Malaysia pastikan kestabilan ekonomi serantau

Fail Foto

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Malaysia memainkan peranan penting dalam diplomasi antarabangsa bagi memastikan hubungan perdagangan dengan negara-negara dagang terus diperhebat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diplomasi berterusan Kuala Lumpur dipercayai menstabilkan ekonomi serantau melalui perjanjian perdagangan dengan tiga blok ekonomi (Sidang Kemuncak ASEAN 2025).
  • Walaupun ketegangan Asia Barat belum reda, harapan agar ia berakhir cepat supaya perdagangan dengan negara Teluk menjadi lebih dinamik dan menguntungkan.
  • AS dijangka menamatkan konflik dengan Iran untuk memulihkan kestabilan ekonomi global susulan gangguan harga minyak, menurut analisis Pakar Geostrategi.

Menurut Pakar Geostrategi, Profesor Madya Dr Azmi Hassan meskipun ketegangan konflik di Asia Barat ketika ini belum menampakkan tanda-tanda akan mereda namun peranan berterusan Kuala Lumpur diyakini dapat memastikan kestabilan ekonomi serantau khususnya menerusi perjanjian perdagangan dengan tiga blok ekonomi yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

“ASEAN, Malaysia bersama dengan China untuk terus berdagang seperti biasa tetapi bila keadaan (konflik) pulih seperti sedia kala, kita (Malaysia) akan berdagang dengan lebih banyak.

“Harapan besar adalah ketegangan ini akan berakhir dengan cepat, dan apabila keadaan kembali normal, Malaysia dan negara-negara Teluk akan dapat menjalankan perdagangan yang lebih dinamik dan menguntungkan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas mengenai situasi semasa konflik di Asia Barat, beliau berpandangan Amerika Syarikat (AS) dijangka menamatkan peperangan dengan Iran bagi mengembalikan kestabilan ekonomi global.

“Apabila kita melihat kenyataan terkini Presiden AS, Donald Trump yang menyatakan AS sudah menang. Ini menunjukkan tanda-tanda bahawa Trump mahu menghentikan peperangan secepat mungkin.

“Ekonomi global kucar-kacir terutamanya dengan kenaikan harga minyak. Jadi Trump mahu menghentikan secepat mungkin dalam seminggu dua,” ujarnya lagi.