Konflik AS–Iran lonjak harga minyak, Petronas jangka kesan bercampur

Pelantar cari gali minyak Petronas/RTM

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kenaikan harga minyak mentah susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka memberi kesan bercampur kepada syarikat minyak dan gas nasional, Petronas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak lebih tinggi boleh tingkatkan hasil pengeluaran huluan tetapi diimbangi kos meningkat sepanjang rantaian nilai tenaga.
  • Kenaikan harga menaikkan kos import minyak mentah, penapisan, logistik, perkapalan dan insurans.
  • Malaysia mengimport banyak minyak dan produk tapis, menyebabkan bil import negara meningkat dan beban kewangan bertambah.
  • Petronas utamakan keselamatan bekalan, kebolehpercayaan dan kemampuan harga; impak bersih bergantung tempoh gangguan dan trend harga global.

Walaupun harga minyak yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan hasil di peringkat pengeluaran huluan, keuntungan tersebut dijangka diimbangi oleh peningkatan kos di seluruh rantaian nilai tenaga.

Menurut Petronas, kenaikan harga minyak mentah sememangnya boleh meningkatkan hasil daripada aktiviti pengeluaran. Namun, sebagai syarikat yang beroperasi merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga, peningkatan harga turut menyebabkan kos meningkat bagi import minyak mentah, aktiviti penapisan, logistik, perkapalan serta insurans.

Keadaan itu menjadi lebih ketara apabila rantaian bekalan global terjejas akibat ketidaktentuan geopolitik.

Tambah syarikat itu, impak kewangan terhadap Petronas adalah lebih kompleks dan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan peningkatan hasil semata-mata.

Malaysia juga mengimport sejumlah besar minyak mentah serta produk petroleum yang ditapis, justeru lonjakan harga global akan meningkatkan bil import negara dengan ketara. Selain itu, kos perkapalan dan insurans yang meningkat ketika konflik turut menambah beban kewangan.

Pada masa sama, komitmen kerajaan terhadap subsidi bahan api juga dijangka meningkat, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada kedudukan kewangan negara.

Petronas turut menegaskan bahawa syarikat itu beroperasi dengan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kebolehpercayaan bekalan serta kemampuan harga tenaga domestik.

Keutamaan itu mempengaruhi cara syarikat mengurus operasi dan membuat keputusan, berbeza dengan syarikat minyak antarabangsa yang beroperasi sepenuhnya berdasarkan pertimbangan komersial.

Menurut Petronas, sama ada impak bersih kepada syarikat adalah positif atau sebaliknya bergantung kepada tempoh gangguan, trend harga minyak global serta tahap tekanan kos di peringkat hiliran.

Dalam keadaan konflik yang masih berlangsung di Asia Barat, faktor-faktor tersebut masih belum dapat dipastikan.