
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Perkembangan konflik di Asia Barat yang mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak dunia turut meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas global.
- Penutupan Selat Hormuz boleh mengetatkan bekalan tenaga global dan menaikkan harga minyak serta LNG.
- Kenaikan harga minyak meningkatkan kos bahan api, tarif elektrik dan menambah ketidaktentuan perniagaan.
- Perlu mempelbagaikan sumber tenaga, tingkatkan kapasiti penjanaan domestik dan percepatkan tenaga boleh baharu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penutupan sementara laluan strategik Selat Hormuz berpotensi mengetatkan bekalan tenaga global, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) serta meningkatkan pre risiko import tenaga.
“Kita menyaksikan lonjakan harga minyak apabila pasaran mengambil kira risiko gangguan bekalan.
“Perkara ini penting kepada Malaysia kerana LNG yang diimport dari Australia dan pembekal lain berkait rapat dengan harga minyak global.
“Sebarang kenaikan mendadak akan menjejaskan kos tenaga industri, penjanaan elektrik dan perbelanjaan bahan api isi rumah,” katanya
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OGSE100 Tahunan Ketiga 2026 di ibu negara, hari ini.
Di peringkat domestik, kesannya dijangka ketara apabila harga minyak mentah Brent kini meningkat ke paras antara AS$80 hingga AS$100 setong, iaitu kenaikan sebanyak 8.3 peratus.
Meskipun kenaikan harga minyak itu berpotensi meningkatkan dividen PETRONAS dan hasil kerajaan, keadaan itu akan diimbangi oleh kenaikan kos produk petroleum bertapis yang diimport.
Situasi itu, mewujudkan ketidaktentuan kepada perniagaan dan sektor tenaga negara, khususnya dari segi kos bahan api, tarif elektrik serta keselamatan tenaga secara keseluruhan.
“Oleh itu, kita perlu mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh kapasiti penjanaan domestik serta mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu dan teknologi peralihan,” katanya.
Perkembangan semasa membuktikan keselamatan tenaga tidak boleh dipisahkan daripada daya tahan ekonomi, meskipun Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding sesetengah negara lain.