Kerjasama strategik Malaysia-India tingkatkan hubungan dua hala, perkukuh daya saing ekonomi

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid/ RTM

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kerjasama strategik Malaysia dan India dalam ekonomi digital, semikonduktor serta penggunaan mata wang ringgit dan rupee dijangka menjadi pemangkin dalam meningkatkan perdagangan dua hala dan memperkukuh daya saing ekonomi kedua-dua negara dalam tempoh jangka panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan mata wang tempatan mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dan membuka peluang untuk PKS terlibat dalam perdagangan antarabangsa.
  • Kerjasama dalam ekonomi digital dan semikonduktor menyokong aspirasi Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai teknologi global.
  • Gabungan kepakaran Malaysia dan India mempercepat pembangunan industri berteknologi tinggi dan memperkukuh daya saing ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid , berkata penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga perdagangan mampu mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS),sekali gus membuka peluang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat dalam perdagangan antarabangsa.

“India merupakan rakan strategik dan yang sangat sesuai bagi Malaysia, khususnya sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia selepas china selain memiliki kelebihan dari segi pembangunan teknologi dan sumber manusia.

“Justeru, keperluan Malaysia untuk berganding bahu dengan india adalah satu langkah yang bijak dan perlu dialu-alukan,” kata beliau dalam hantaran videonya kepada RTM, di sini.

Beliau berkata, hubungan perdagangan Malaysia–India yang telah terjalin sejak sekian lama, disokong persamaan dari segi ekonomi dan budaya, wajar terus diperkukuh memandangkan India kini muncul sebagai antara ekonomi terbesar di Asia dan dunia.

Kerjasama dalam ekonomi digital dan semikonduktor juga selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global industri teknologi, selain memanfaatkan kekuatan India dari segi kepakaran teknologi dan sumber manusia.

Tambah beliau, gabungan kepakaran kedua-dua negara berpotensi mempercepatkan pembangunan industri berteknologi tinggi di Malaysia, sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi negara dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar.