Kerjasama MAB Engineering–Boeing kukuhkan Malaysia sebagai hab MRO serantau

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan (MAG), Mohd Nadziruddin Mohd Basri (kanan) bersama Timbalan Naib Presiden, Jualan Komersial Boeing, Samir Sahgal / Foto MAG

KUALA LUMPUR, 5 Februari – MAB Engineering Services, cabang kejuruteraan Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai perkongsian bersama Boeing bagi memperluas keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di seluruh rantau Asia Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama lima tahun dengan Boeing kukuhkan peranan MAB Engineering sebagai rakan kongsi MRO serantau di Asia Pasifik.
  • Inisiatif sedia menawarkan sokongan MRO kos efektif, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada pengendali pesawat Boeing.
  • Langkah ini letakkan MAB Engineering di barisan hadapan penyampaian penyelesaian MRO inovatif dan cekap.

Majlis pemeteraian kerjasama bagi tempoh lima tahun itu diadakan pada Pertunjukan Udara Singapura 2026 di Pusat Pameran Changi, Singapura.

MAG menerusi kenyataan memaklumkan, perkongsian itu membolehkan MAB Engineering berperanan sebagai rakan kongsi serantau bagi potensi kerja MRO bersama Boeing pada masa hadapan.

”Ini termasuk menyediakan sokongan yang mempunyai keberkesanan kos, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada syarikat penerbangan.

”Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada pengendali pesawat Boeing di seluruh Asia Pasifik, selari dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan MRO yang komprehensif di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut MAG, kerjasama berkenaan meletakkan MAB Engineering Services diibarisan hadapan dalam penyampaian penyelesaian MRO yang inovatif, boleh dipercayai dan cekap.