Kepelbagaian eksport kukuhkan perdagangan negara – Maybank IB

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Prestasi perdagangan Malaysia tahun lalu menunjukkan pengukuhan ketara apabila jurang pertumbuhan antara eksport dan import semakin mengecil, sekali gus menyumbang kepada lebihan dagangan yang lebih tinggi melebihi RM151.8 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepelbagaian asas eksport terus mengukuhkan Malaysia menentang ketidaktentuan perdagangan global.
  • Kejelasan dasar perdagangan dan pengembangan pasaran eksport penting untuk hala tuju perdagangan negara.
  • Prospek positif dari kitaran teknologi AI menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan eksport.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keadaan itu didorong oleh kepelbagaian asas eksport yang kekal memberi manfaat kepada Malaysia, khususnya dalam persekitaran perdagangan global yang tidak menentu.

”Kesimpulan utama daripada data perdagangan 2025 ini ialah betapa pentingnya kepelbagaian produk dan pasaran eksport dalam menangani ketidaktentuan, serta perubahan landskap perdagangan global susulan dasar dan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).

”Keadaan ini, bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh prospek positif daripada kitaran teknologi kecerdasan buatan (AI),” jelas bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.

Maybank IB menjelaskan, pengukuhan kepelbagaian pasaran eksport dan penambahbaikan dalam kejelasan dasar perdagangan akan menjadi faktor penting dalam menentukan hala tuju perdagangan luar dan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Bagi 2026, firma itu mengunjurkan pertumbuhan eksport sebanyak 5.5 peratus, manakala import dijangka meningkat 6.0 peratus.

Manakala, lebihan dagangan keseluruhan pula dianggarkan mencecah lebih RM152.8 bilion.