Kemasukan EV import mewah tidak jejas ekosistem tempatan

Segmen EV mewah dijangka tingkatkan kapasiti pengeluaran tempatan./BERNAMA

SUBANG JAYA, 21 Februari – Langkah kerajaan menumpukan kemasukan kenderaan elektrik (EV) import kepada segmen mewah dilihat dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran automotif tempatan serta memperkukuh ekosistem industri negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus kemasukan EV import pada segmen mewah bertujuan tingkatkan kapasiti pengeluaran automotif tempatan.
  • Strategi ini diharapkan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan kereta serantau seperti Thailand.
  • Pengeluar luar perlu bawa EV berkelas tinggi; segmen harga rendah dan sederhana dipertahankan pengeluar tempatan.
  • Langkah kerajaan dipercayai tidak menjejaskan ekosistem EV keseluruhan berbanding pasaran ICE.

Menurut Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin, pendekatan itu membolehkan pengeluar tempatan bersaing dengan pasaran import dan menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan kereta.

“Saya merasakan Malaysia juga ingin menjadi hub pembuatan kereta seperti di Thailand. Kita juga melihat negara seperti Indonesia dan Vietnam turut merancakkan pembangunan industri automotif mereka.

“Jadi, langkah kerajaan untuk menggalakkan pemasangan kereta EV tempatan adalah di landasan yang betul bagi meningkatkan ekosistem pemasangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas Program Shopping Raya 2026 Anak-Anak Asnaf dan Pelajar Tahfiz Zon Tengah di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berpendapat, fokus kerajaan terhadap EV import mewah tidak akan menjejaskan ekosistem kenderaan tersebut secara keseluruhan, berbeza dengan pasaran kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) yang bersifat lebih umum, melibatkan jualan berjumlah besar dan pelbagai lapisan pengguna.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, memaklumkan kerajaan menumpukan kemasukan EV import kepada segmen mewah bagi melindungi ekosistem automotif tempatan.

Pengeluar luar yang ingin menembusi pasaran tempatan perlu menawarkan EV berkelas tinggi, manakala segmen harga rendah dan sederhana akan terus diperkukuh oleh pengeluar tempatan.