
KUALA LUMPUR, 12 Februari -Prestasi ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih baik daripada sasaran awal, susulan momentum aktiviti ekonomi yang terus kukuh ketika ini.
- Prestasi ekonomi suku keempat dijangka melebihi jangkaan awal berdasarkan momentum aktiviti ekonomi semasa.
- KDNK keseluruhan 2025 berpotensi sekitar 4.9 persen, melebihi sasaran kerajaan 4.0–4.8 persen.
- Aliran pelaburan, projek pengaktifan dan tempahan pembuatan kukuh menyokong prospek pertumbuhan.
- Lebih dua juta penerima sudah menebus SARA RM100; pelaksanaan dipertingkat dan skop penggunaan diperluas.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan hujung tahun lalu, ekonomi negara bagi suku keempat diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus.
Menurut beliau, sekiranya angka tersebut dicapai, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun lalu berpotensi mencecah sekitar 4.9 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding sasaran kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
“Melihat kepada kerancakan ekonomi semasa, saya optimis angka sebenar yang akan diumumkan esok mungkin lebih baik daripada jangkaan awal.
“Aliran pelaburan yang masuk ke dalam negara, aktiviti pengaktifan projek serta tempahan dalam sektor pembuatan yang kekal kukuh memberi isyarat positif terhadap prestasi ekonomi,” katanya.
ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Jana MyPesara, di sini.
Tambahnya, sektor peruncitan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan, sekali gus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Amir memaklumkan setakat Selasa lalu, lebih dua juta penerima telah menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 dengan jumlah perbelanjaan hampir RM200 juta.
Menurut beliau, perkembangan tersebut mencerminkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan rakyat terhadap inisiatif berkenaan.
“Kita telah melakukan penambahbaikan berbanding pelaksanaan sebelum ini dan kali ini sistem berjalan lancar tanpa isu besar di peringkat kedai.
“Skop penggunaan bantuan juga diperluaskan termasuk kategori barangan yang boleh dibeli,” jelasnya.
Beliau menegaskan usaha penambahbaikan akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan SARA memberi manfaat berterusan kepada rakyat.