
KUALA LUMPUR, 9 Februari – Kerajaan terus komited memastikan pematuhan terhadap piawaian kemampanan antarabangsa apabila 90 peratus estet sawit negara dan 85 peratus pekebun kecil persendirian telah memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat ini.
- 90 peratus estet sawit dan 85 peratus pekebun kecil persendirian telah memperolehi pensijilan MSPO setakat ini.
- MPOB menyediakan bantuan geran sepenuhnya untuk memperluaskan liputan pensijilan kepada pekebun kecil.
- Kementerian membangunkan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) untuk menyokong pematuhan EUDR, siap sepenuhnya pada Mac 2026.
- SKN menggabungkan SIMS, GeoSawit dan e‑MSPO bagi pemantauan rantaian bekalan, lokasi kebun dan status pensijilan MSPO.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata bagi memperluaskan liputan pensijilan itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyediakan bantuan geran sepenuhnya kepada pekebun kecil sawit.
“Kerajaan memberikan komitmen penuh untuk memenuhi keperluan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), bukan sahaja bagi sektor sawit, malah melibatkan semua komoditi lain,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Noraini memaklumkan kementeriannya kini berada pada peringkat akhir pembangunan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) yang akan menyokong keperluan kebolehjejakan, iaitu antara komponen utama pematuhan EUDR.
“SKN merupakan sistem bersepadu yang menggabungkan sistem sedia ada di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi menyokong pematuhan peraturan EUDR serta keperluan kemampanan global pada masa hadapan, dan dijangka digunakan sepenuhnya pada Mac 2026.
“Tiga sistem utama yang membentuk teras SKN ialah Sawit Intelligent Management System (SIMS), GeoSawit dan e-MSPO. SIMS merekod maklumat pelesenan serta transaksi rantaian bekalan dari ladang hingga pintu keluar pelabuhan, manakala GeoSawit memetakan lokasi sebenar kebun dan ladang termasuk pemantauan penyahhutanan. Sistem e-MSPO pula memaparkan status dan maklumat pensijilan MSPO terkini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan keluasan tanaman sawit berlesen di seluruh negara kini sekitar 5.7 juta hektar, dengan tumpuan diberi kepada peningkatan produktiviti melalui program tanam semula bersasar seperti Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0).