
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 2.9 peratus bagi Disember 2025, dengan bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan peningkatan kepada 17.13 juta.
- Kadar pengangguran kekal 2.9 peratus pada Disember 2025, menunjukkan kestabilan pasaran buruh.
- Bilangan penduduk bekerja meningkat marginal kepada 17.13 juta, menandakan pertumbuhan pekerjaan berterusan.
- Kadar penyertaan tenaga buruh kekal 70.9 peratus; KPTB perempuan mencapai rekod tertinggi 56.6 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan memaklumkan, bilangan penduduk bekerja naik 0.2 peratus daripada 17.09 juta pada November 2025.
Pasaran buruh Malaysia pada Disember 2025 terus menunjukkan pertumbuhan yang positif, disokong oleh penambahbaikan ekonomi yang berterusan.
”Seiring dengan situasi ini, bilangan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan marginal, manakala pengangguran terus menurun.
”Oleh itu, tenaga buruh berada pada trend meningkat,naik sebanyak 0.2 peratus kepada 17.65 juta orang berbanding 17.61 juta orang pada November 2025,” menurut kenyataan itu.
Bagi tempoh sama bilangan penganggur turun 0.1 peratus kepada 517,700 orang daripada 518,400 orang.
Sementara itu, bagi prestasi pada suku keempat 2025, kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus daripada 3.0 pada suku ketiga. Manakala, tenaga buruh menunjukkan pertumbuhan yang stabil, meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 17.62 juta orang.
”Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, dengan KPTB lelaki kekal pada 83.3 peratus, manakala KPTB perempuan mencatatkan paras tertinggi pernah direkodkan, iaitu 56.6 peratus,” tambah kenyataan itu.
Untuk beberapa bulan akan datang, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan pasaran buruh negara terus stabil dengan asas yang lebih kukuh, hasil gabungan inisiatif fiskal, pelancongan dan pembangunan tenaga kerja.