
KUALA LUMPUR, 19 Februari – Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks mencatatkan peningkatan sebanyak 135.7 berbanding 133.6 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- Kenaikan inflasi 1.6 peratus pada Januari 2026 menurut DOSM.
- Kenaikan disumbang oleh penjagaan diri, pendidikan, perumahan, utiliti, rekreasi dan lain-lain.
- Makanan dan minuman naik 1.5 peratus; minuman beralkohol dan tembakau naik 2.5 peratus.
- Tiga negeri melebihi kadar nasional: Johor 2.1, Negeri Sembilan 2.0 dan Pahang 1.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan.
Selain itu, kenaikan turut melibatkan sektor pendidikan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.
Kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan juga mencatatkan peningkatan yang menyumbang kepada inflasi keseluruhan.
“Kedua-dua kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat 2.5 peratus, manakala makanan dan minuman meningkat 1.5 peratus, sama seperti yang direkodkan pada Disember 2025,” katanya.
“Namun begitu, peningkatan perlahan bagi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan sebanyak 5.5 peratus berbanding 5.6 peratus pada bulan sebelumnya. Manakala, restoran dan perkhidmatan penginapan mererkodkan 3.0peratus berbanding 3.1 peratus.
“Kesihatan catat 1.4 peratus, maklumat dan komunikasi pula catat 0.7peratus dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, 0.2peratus, sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pakaian dan kasut kekal tidak berubah berbanding tahun sebelumnya pada paras 0.1 peratus.
Inflasi pengangkutan pula mencatatkan trend menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Januari 2026, berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Dari segi negeri, tiga negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional iaitu Johor (2.1 peratus), diikuti Negeri Sembilan (2.0 peratus) dan Pahang (1.9 peratus).
Dalam masa sama, baki 13 negeri lain mencatatkan peningkatan di bawah atau sama dengan kadar inflasi nasional, dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.3 peratus.