
KUALA LUMPUR, 20 Februari – Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan kadar inflasi Malaysia berada pada purata 1.8 peratus tahun ini, berikutan impak terkawal daripada pelbagai faktor kos domestik.
- Maybank IB jangka inflasi Malaysia purata 1.8% tahun ini disebabkan impak kos domestik terkawal.
- Pendorong utama: kos buruh meningkat, pelarasan cukai penggunaan dan semakan kadar utiliti.
- Pengukuhan ringgit bantu kurangkan kos import, mengekalkan tekanan harga sederhana.
- Pelarasan bahan api automatik dan subsidi bersasar hadkan impak terhadap pengguna dan inflasi pengangkutan.
Maybank IB dalam nota penyelidikannya menjelaskan, faktor-faktor utama merangkumi peningkatan kos buruh, pelarasan cukai penggunaan dan semakan kadar utiliti.
Bagaimanapun, tekanan harga keseluruhan kekal sederhana, disokong oleh pengukuhan ringgit yang membantu mengurangkan kos import.
Data Januari 2026 menunjukkan inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.6 peratus tahun ke tahun, manakala inflasi teras tidak berubah pada 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
”Pelaksanaan mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) bersama insentif kecekapan tenaga, memberi impak minimum kepada pengguna isi rumah.
”Ini dapat dilihat apabila subkumpulan elektrik, gas dan bahan api lain terus mencatat penurunan 7.2 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 berikutan kos bahan api yang lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan kuota bulanan 300 liter pula memberi kesan terhad terhadap keseluruhan inflasi.
Inflasi pengangkutan menyusut 0.7 peratus, didorong penurunan harga petrol dan diesel tidak bersubsidi sejajar dengan kejatuhan harga minyak mentah global.