Inflasi bahan api runcit lebih rendah dorong penurunan inflasi Jun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Inflasi bahan api runcit yang lebih rendah, khususnya bagi petrol RON97 dan diesel, menjadi pendorong utama penurunan inflasi keseluruhan pada Jun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi keseluruhan dan teras menurun kepada 1.9 peratus, mencerminkan kesan asas dan inflasi lebih rendah bagi barang kemas serta jam.
  • Pertumbuhan kredit sektor swasta bukan kewangan kekal stabil pada 6.4 peratus, disokong pinjaman terkumpul dan pertumbuhan bon korporat.
  • Pinjaman perniagaan meningkat kepada 7.2 peratus, dikuasai pinjaman kepada syarikat bukan PKS; pinjaman isi rumah perlahan kepada 5.3 peratus.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing menurun kepada 1.9 peratus daripada dua peratus pada bulan sebelumnya.

“Inflasi yang lebih rendah itu turut mencerminkan kesan asas daripada kenaikan inflasi perkhidmatan penstriman pada Jun 2025, selain inflasi lebih rendah bagi barang kemas dan jam susulan penyusutan harga emas global,” menurut bank pusat itu dalam Sorotan Bulanannya.

Sementara itu, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan kekal stabil pada 6.4 peratus pada Jun, sama seperti bulan sebelumnya.

BNM memaklumkan pertumbuhan itu disokong peningkatan berterusan pinjaman terkumpul sebanyak enam peratus, selain pertumbuhan bon korporat sebanyak 8.1 peratus.

Pertumbuhan pinjaman perniagaan pula meningkat kepada 7.2 peratus daripada tujuh peratus pada Mei, didorong terutamanya oleh pinjaman kepada syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memenuhi keperluan modal kerja.

Pertumbuhan pinjaman isi rumah bagaimanapun sedikit perlahan kepada 5.3 peratus berbanding 5.5 peratus pada bulan sebelumnya, namun kekal disokong pertumbuhan stabil merentas kebanyakan tujuan pembiayaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.