Industri semikonduktor perkukuh rantaian bekalan hadapi cabaran global

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Industri semikonduktor negara masih kekal berdaya tahan walaupun berdepan pelbagai cabaran global, termasuk kenaikan harga minyak dan perubahan dinamik perdagangan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rantaian bekalan menjadi fokus utama; risiko geopolitik perlu dikenal pasti untuk membolehkan syarikat merangka strategi dan memastikan kelangsungan operasi.
  • Syarikat mempelbagaikan sumber bekalan dari pelbagai negara bagi meningkatkan daya tahan terhadap gangguan luar.
  • Syarikat menyimpan stok penimbal mencukupi serta meningkatkan kecekapan melalui automasi dan kecerdasan buatan untuk mengekalkan daya saing global.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, situasi semasa mendorong syarikat melaksana pelbagai strategi rantaian bekalan masing-masing secara lebih menyeluruh.

“Kita perlu menangani setiap cabaran, justeru rantaian bekalan menjadi isu utama. Faktor seperti konflik Iran dan ketegangan geopolitik perlu dikenalpasti dengan jelas agar syarikat dapat bersedia, ”

“Melalui pendekatan tersebut, syarikat mampu merangka strategi yang tepat dan kekal kukuh. Oleh itu, rantaian bekalan perlu dikaji secara teliti bagi memastikan kelangsungan operasi,” katanya kepada RTM.

Menurut beliau, syarikat kini mengambil pendekatan lebih seimbang dengan mempelbagai sumber bekalan daripada pelbagai negara, berbanding bergantung kepada satu pasaran sahaja.

Langkah ini mampu meningkatkan daya tahan industri dalam menghadapi sebarang gangguan luar.

Tambahnya, kesan terhadap bekalan bahan tertentu seperti helium dijangka terkawal, memandangkan sebahagian pemain industri tempatan kurang bergantung kepada bahan tersebut.

Beliau turut menjelaskan, kebanyakan syarikat mempunyai stok penimbal mencukupi hasil penambahbaikan pengurusan bekalan sejak pandemik, sekali gus memastikan operasi kekal lancar dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, beliau berkata industri juga giat meningkatkan kecekapan dalaman melalui penggunaan teknologi seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan daya saing terus kukuh di peringkat global.