Indeks MPI Malaysia catat penurunan 0.0025 pada 2024

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Februari – Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) Malaysia menunjukkan penurunan daripada 0.0037 pada 2022 kepada 0.0025 pada tahun 2024, menandakan penambahbaikan berterusan dalam kesejahteraan pelbagai dimensi secara keseluruhan

RINGKASAN BERITA AI
  • MPI Malaysia menurun kepada 0.0025 pada 2024, mencerminkan penambahbaikan keseluruhan dalam kesejahteraan bukan kewangan.
  • Jurang bandar-luar bandar kekal, dengan MPI luar bandar lebih tinggi walaupun menunjukkan penurunan.
  • Peningkatan ketara dalam dimensi pendidikan dan kesihatan, termasuk akses perkhidmatan kesihatan yang bertambah baik.
  • Keperluan untuk memperkukuh akses air bersih dan perkhidmatan kesihatan bagi mempercepat pengurangan kemiskinan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan memaklumkan , penurunan MPI Malaysia dalam tempoh tersebut adalah sejajar dengan pengurangan dalam kebanyakan indikator utama.

Ini khususnya dalam aspek bukan kewangan seperti kesihatan dan komponen terpilih bagi taraf hidup.

”Kemiskinan pelbagai dimensi di kawasan bandar kekal rendah, dengan MPI direkodkan pada 0.0001 pada kedua-dua tahun 2022 dan 2024.

”Sebagai perbandingan, kawasan luar bandar terus mengalami tahap kemiskinan pelbagai dimensi yang lebih tinggi, walaupun berlaku penurunan daripada 0.0164 pada 2022 kepada 0.0109 pada 2024,” jelasnya.

Jurang yang berterusan antara nilai MPI bandar dan luar bandar ini menekankan bahawa kemiskinan pelbagai dimensi masih tertumpu di komuniti luar bandar.

Bagi dimensi pendidikan, isi rumah miskin yang menghadapi kekangan dalam tahun persekolahan semakin berkurangan.

“Ketersisihan berkaitan dengan tahun persekolahan menunjukkan penambahbaikan yang ketara, menurun daripada 0.0003 pada tahun 2022 kepada 0.0001 pada tahun 2024.

”Untuk indikator kehadiran di sekolah, tahapnya kekal stabil pada 0.0001 dalam kedua-dua tahun,” katanya.

Sementara itu dalam dimensi kesihatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan bertambah baik apabila indikator menurun daripada 0.0013 kepada 0.0009.

Manakala akses air bersih menurun daripada 0.0014 kepada 0.0010, walaupun kedua-duanya kekal sebagai penyumbang utama kepada MPI nasional.

“Bagi taraf hidup, kebanyakan indikator menunjukkan trend stabil atau bertambah baik dengan keadaan kediaman dan kepadatan bilik kekal pada 0.0001. Sanitasi, penggunaan pengangkutan dan akses peralatan komunikasi asas berada pada 0.0000,” katanya.

Tambahnya, skor MPI yang lebih rendah mencerminkan kemajuan ketara dalam menangani kemiskinan bukan kewangan.

Pada masa hadapan, akses kepada air bersih serta perkhidmatan penjagaan kesihatan perlu diperkukuh, seiring dengan penambahbaikan berterusan dalam taraf hidup asas.

Ia penting bagi mempercepat pengurangan kemiskinan pelbagai dimensi dan memastikan pembangunan sosioekonomi inklusif.