Hujan berterusan sokong aliran meningkat pasaran getah

Pasaran getah Malaysia dijangka menunjukkan aliran meningkat minggu depan./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Pasaran getah Malaysia dijangka menunjukkan aliran meningkat minggu depan, memandangkan hujan lebat berterusan di seluruh wilayah pengeluar utama, sekali gus menjejaskan produktiviti getah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat berterusan di kawasan pengeluar utama menjejaskan produktiviti dan menyokong aliran meningkat pasaran getah.
  • Cuti Tahun Baharu Cina dan faktor geopolitik AS-Iran menambah ketidaktentuan dalam pengeluaran dan permintaan getah.
  • Prospek permintaan global positif walau pasaran kekal bercampur dipengaruhi niaga hadapan serantau dan pengukuhan ringgit.

Menurut pakar industri Denis Low, cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina  turut memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran dan perdagangan getah.

Beliau berkata konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang berterusan terus mempengaruhi sentimen pasaran, kerana ia boleh menyebabkan permintaan getah meningkat atau berkurangan dengan mendadak.

“Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran mengenai ribut musim panas yang membawa hujan lebat, angin kencang, kilat dan kemungkinan hujan batu, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia pula mengeluarkan nasihat untuk ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran berkemungkinan akan meningkat minggu depan tetapi mungkin kekal bercampur-campur, menjejaki niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang mengukuh.

Pasaran dijangka terus terkesan dengan pertumbuhan ekonomi AS dan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai konflik AS-Iran.

“Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) menjangkakan tinjauan positif terhadap permintaan global bagi getah, memandangkan musim daun pokok getah luruh yang semakin hampir mengakibatkan pengeluaran yang rendah,” tambahnya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 5.5 sen kepada 762.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah tujuh sen kepada 585.5 sen sekilogram. – BERNAMA