Henry Butcher optimis pasaran hartanah kediaman kekal stabil pada 2026

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Henry Butcher Malaysia optimis pasaran hartanah kediaman negara pada 2026 akan kekal stabil dan terus mencatat pertumbuhan positif walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran kediaman kekal stabil dan terus mencatat pertumbuhan positif pada 2026 walaupun lebih perlahan.
  • Harga rumah mungkin meningkat disebabkan kos pembinaan lebih tinggi, tetapi kenaikan dijangka terkawal.
  • Permintaan tertumpu pada hartanah bertanah, khususnya rumah teres satu dan dua tingkat.
  • Pangsapuri mampu milik sekitar RM500,000 ke bawah dan unit bawah RM300,000 di bandar kecil kekal diminati.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Henry Butcher Malaysia, Tang Chee Meng, harga rumah berpotensi meningkat apabila pemaju cuba mengimbangi kos pembinaan yang lebih tinggi.

Namun, kenaikan itu dijangka terkawal berikutan permintaan yang mudah terkesan oleh perubahan harga serta sentimen pengguna yang lebih berhati-hati.

“Dalam sesetengah keadaan pasaran, pemaju boleh menaikkan harga dengan lebih agresif. Namun, dalam pasaran sekarang, apabila pembeli dan pelabur lebih berhati-hati, saya fikir pemaju perlu mengimbangi antara keuntungan dan aliran tunai.

”Ya, mereka boleh menaikkan harga lebih tinggi, mereka boleh buat lebih banyak keuntungan, tetapi ia mungkin memberi kesan kepada aliran tunai,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pelancaran HB Perspective 2026 di sini.

Tambahnya, tumpuan pasaran kediaman pada tahun ini kekal kepada hartanah bertanah, khususnya rumah teres satu dan dua tingkat yang masih menjadi pilihan utama kebanyakan rakyat Malaysia.

Turut menjadi pilihan pemilik kediaman, pangsapuri dalam julat mampu milik sekitar RM500,000 dan ke bawah di bandar-bandar utama.

Di kawasan bandar kecil pula, unit dalam lingkungan RM300,000 dan ke bawah dijangka kekal menjadi segmen pertumbuhan, termasuk trend pembangunan unit bersaiz lebih kecil.

Dalam masa sama, syarikat itu mengekalkan pandangan positif terhadap subsektor runcit pada 2026, disokong jangkaan manfaat Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pelbagai insentif kerajaan untuk membantu rakyat termasuk pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan bantuan tunai yang akan merangsang perbelanjaan pengguna.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan