
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Harga jualan kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) dijangka tidak mengalami kenaikan ketara, susulan kebanyakan EV di pasaran tempatan diimport dari negara yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia.
- Duti import bagi EV dari China hanya lima peratus, dan kebanyakan pengedar menyerap kos tambahan itu.
- Pelarasan harga lebih mungkin kepada EV sekitar RM100,000 ke atas kerana margin keuntungan lebih rendah dan terhad.
- Pengecualian cukai EV CBU tamat 31 Dis 2025; struktur cukai baharu bermula 1 Jan 2026: duti import hingga 30%, eksais 10%, SST 10%.
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata sebarang kenaikan harga bergantung kepada strategi penetapan harga pengedar serta manfaat yang diperoleh daripada FTA.
“Kebanyakan EV diimport dari China. Memandangkan kerajaan mempunyai perjanjian perdagangan dengan negara tersebut, duti import ke atas kenderaan hanya sebanyak lima peratus.
Manakala duti eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kekal seperti sedia ada. Oleh itu, kenaikan harga tidak ketara dan kebanyakan pengedar menyerap tambahan kos lima peratus tersebut,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia.
Beliau menambah, sebarang pelarasan harga dijangka lebih berkemungkinan melibatkan EV dalam lingkungan harga sekitar RM100,000 ke atas kerana margin keuntungan bagi segmen itu lebih rendah dan terhad.
Bagi model EV berharga RM200,000 ke atas pula, pengeluar dan pengedar masih mampu menyerap kenaikan duti import dengan mengurangkan margin keuntungan mereka.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan pengecualian cukai bagi EV CBU yang dinikmati sejak 2022 dijadualkan tamat pada 31 Disember 2025, menyebabkan cukai dikenakan semula bermula 1 Januari 2026.
Struktur cukai baharu itu melibatkan duti import sehingga 30 peratus, duti eksais 10 peratus, dan cukai jualan 10 peratus.