
WASHINGTON, 29 Januari – Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah penanda aras pada julat antara 3.5 peratus hingga 3.75 peratus, pada mesyuarat dasar monetari pertamanya untuk 2026.
- Fed mengekalkan dasar monetari untuk menggalakkan kemajuan ke arah guna tenaga maksimum dan sasaran inflasi dua peratus.
- Keputusan dipengaruhi oleh inflasi yang masih tinggi walaupun ekonomi AS berkembang pada kadar kukuh.
- Majoriti FOMC 10 daripada 12 ahli mengundi untuk mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dua hari itu.
- Dua gabenor bersuara menolak keputusan dan mengundi untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Pengekalan kadar itu sekali gus mengakhiri pengurangan kadar faedah tiga kali berturut-turut pada separuh kedua 2025.
Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata keputusan itu mengambil kira kadar inflasi yang masih tinggi di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
”Ekonomi AS berkembang pada kadar yang kukuh tahun lalu dan memasuki tahun 2026 dengan asas yang utuh.
”Walaupun pertambahan pekerjaan kekal rendah, kadar pengangguran menunjukkan beberapa tanda penstabilan dan inflasi masih berada pada tahap agak tinggi,” katanya yang memetik kenyataan di REUTERS.
Fed turut berpandangan bahawa pendirian dasar monetari semasa bersesuaian bagi menggalakkan kemajuan ke arah pencapaian guna tenaga maksimum serta sasaran inflasi dua peratus.
Pada mesyuarat selama dua hari itu, 10 daripada 12 ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), mengundi untuk mengekalkan kadar faedah.
Gabenor, Stephen Miran dan Gabenor, Christopher Waller calon berpotensi menggantikan Pengerusi Fed menolak keputusan tersebut, dengan memilih untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.