FAMA sasar eksport agromakanan negara meningkat 10–20% tahun ini

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 16 Februari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan eksport agromakanan negara meningkat antara 10 hingga 20 peratus tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAMA mensasarkan peningkatan eksport agromakanan 10–20 peratus tahun ini melalui peluasan pasaran antarabangsa.
  • Permintaan global terhadap produk halal Malaysia menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport.
  • Reputasi pensijilan halal Malaysia dilihat sebagai kelebihan kompetitif dan diterima oleh bukan Muslim.
  • Produk agromakanan yang bersih, selamat dan bersijil Halal mendapat permintaan tinggi di pasaran global.

Ia didorong peluasan pasaran antarabangsa, serta permintaan terhadap produk halal negara.

Jelas Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli, reputasi pensijilan halal Malaysia terus menjadi kelebihan kompetitif, selain turut diterima dalam kalangan pengguna bukan muslim.

“Bukan isu semata-mata ritual atau agama, ini berkaitan dengan kebersihan dan tahap ‘hygiene’. Semua orang bercakap tentang keselamatan, kan? Jadi memang semua orang memerlukan, dan kita pun menerima maklum balas daripada peringkat antarabangsa.

“Mereka juga sedang mencari bekalan produk, terutamanya dalam sektor agromakanan, yang mempunyai sijil halal daripada JAKIM. Jadi, permintaan untuk produk bersih, selamat, dan halal memang tinggi di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pemerkasaan Eksport dan Keusahawanan Global Siri 1 : GLOBEX United Kingdom di sini.

Tahun lalu, prestasi eksport agromakanan negara mencatat pertumbuhan 13.5 peratus berbanding 2024.