
KUALA LUMPUR 19 Mac– Pengumuman dividen 3.5 peratus oleh Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai petunjuk jelas pemulihan keyakinan rakyat serta keberkesanan usaha pembaharuan dalam pengurusan institusi kewangan Islam negara.
- Tabung Haji sebagai amanah khusus untuk umat Islam; kepercayaan pendeposit mesti dijaga.
- Pembaharuan tadbir urus, disiplin kewangan dan integriti pengurusan mula menunjukkan hasil, dibuktikan oleh prestasi terbaik lapan tahun.
- Agihan memberi sedikit kelegaan kepada pendeposit menghadapi kos sara hidup, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.
- Keutamaan adalah konsistensi, kestabilan, pengurusan risiko berhemah dan tadbir urus bersih untuk mengekalkan kepercayaan jangka panjang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fakulti Program, Fakulti Kejuruteraan dan Informatik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Amir Hussien, dari sudut ekonomi manusiawi, dividen tersebut membawa makna lebih besar daripada sekadar angka, terutamanya dalam konteks kepercayaan masyarakat.
“Di sebalik angka ini, kita perlu memahami bahawa Lembaga Tabung Haji bukanlah sebuah institusi kewangan biasa. Ia merupakan tempat umat Islam menyimpan dengan niat ibadah bagi menunaikan fardu haji, sekali gus menjadikan ‘amanah’ sebagai elemen paling utama.”
“Prestasi tertinggi dalam tempoh lapan tahun ini membuktikan bahawa usaha pembaharuan terutamanya dari segi tata kelola, disiplin kewangan, dan integriti pengurusan kini mula membuahkan hasil yang wajar dihargai,”katanya.
Pencapaian prestasi tertinggi dalam tempoh lapan tahun itu memberi gambaran bahawa usaha pembaharuan dari segi tadbir urus, disiplin kewangan dan integriti pengurusan mula menunjukkan hasil yang positif.
Beliau menambah, dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa, agihan tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada pendeposit, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, Datuk Seri Amir menegaskan pendekatan ekonomi manusiawi menuntut penilaian menyeluruh yang tidak hanya tertumpu kepada kadar dividen semata-mata.
“Apa yang lebih penting adalah konsistensi, kestabilan dan keupayaan institusi ini menjaga kepentingan pendeposit dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Tegasnya, cabaran sebenar bukan sekadar mencapai kadar dividen tahunan, tetapi memastikan Tabung Haji kekal kukuh, telus dan dipercayai.
“Setiap keputusan pelaburan mesti dibuat secara berhemah dengan pengurusan risiko yang berdisiplin. Tadbir urus juga perlu kekal bersih dan bertanggungjawab kerana kepercayaan yang tergugat mengambil masa yang lama untuk dipulihkan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pengumuman tersebut sebagai perkembangan positif, namun semua pihak perlu terus memastikan standard amanah dipelihara dan diperkukuhkan.
“Dalam konteks TH, dividen mungkin memberi keselesaan sementara, tetapi amanah itulah yang memberikan ketenangan berpanjangan kepada umat,” katanya.