
SHAH ALAM, 28 Februari – Pengagihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dikreditkan ke dalam akaun yang sepatutnya, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991.
- Dividen KWSP mesti dikreditkan ke akaun yang betul mengikut Akta KWSP 1991.
- Dividen tidak boleh dipindah atau disalurkan ke akaun tertentu secara suka hati.
- Sama kadar dividen dikreditkan ke Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3 berdasarkan baki semasa.
- Ahli boleh semak pengkreditan dividen melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri KWSP.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, di bawah peruntukan akta itu, agihan dividen juga tidak boleh disalurkan kepada satu akaun tertentu sahaja.
”Dari segi Akta KWSP 1991, dividen perlu kreditkan kepada akaun yang betul, jadi kalau simpanan tu dalam Akaun 1 atau Akaun persaraan, dividen itu perlu dikreditkan mengikut akta kepada Akaun 1.
“Jadi kita tidak boleh ambil dividen dari akaun lain ke Akaun 3,” jelasnya pada sidang media pengumuman kadar dividen KWSP 2025 hari ini.
Ujarnya, kadar dividen yang sama akan dikreditkan ke Akaun 1 (Persaraan), Akaun 2 (Sejahtera), dan Akaun 3 (Fleksibel) berdasarkan baki semasa masing-masing.
”Dividen adalah berdasarkan baki yang terdapat dalam setiap akaun. Jadi bayangkan anda mempunyai tiga akaun bank, faedah atau keuntungan bagi ketiga-tiga akaun tersebut akan dikira berdasarkan baki dalam setiap akaun masing-masing.
”Sebagai contoh, sekiranya seseorang mencarum mengikut pecahan 75/15/10, namun telah mengeluarkan 10 peratus daripada Akaun 3, maka Akaun 3 tidak akan menerima dividen kerana tiada baki,” tambahnya.
Sementara itu katanya, pengkreditan dividen bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai menjelang 1 Mac depan.
Tambahnya, ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara,” katanya.