
KUALA LUMPUR, 25 Februari -Co-opbank Pertama (CBP) terus mencatat prestasi kewangan memberangsangkan apabila merekod keuntungan sebelum cukai sebanyak RM131.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
- Peningkatan aset sebanyak 12.8 peratus kepada RM14.48 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2025.
- Sumbangan utama datang dari segmen runcit, pembiayaan peribadi dan perniagaan Ar-Rahnu yang meningkat ketara.
- Perancangan pelancaran sukuk pertama pada suku kedua 2026 bernilai RM400 juta hingga RM1 bilion.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan 5.6 peratus berbanding RM124.20 juta yang dicatat pada tahun kewangan 2024.
Dalam tempoh sama, aset bank tersebut turut berkembang 12.8 peratus kepada RM14.48 bilion berbanding
RM12.84 bilion sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pencapaian itu diraih meskipun institusi kewangan berdepan ketidaktentuan pasaran global sepanjang tahun lalu.
“Faktor utama menyumbang kepada prestasi ini adalah perniagaan perbankan kita, terutamanya bagi segmen runcit dan pengguna melalui pembiayaan peribadi” .
“Selain itu, perniagaan Ar-Rahnu turut memberi sumbangan signifikan, baik dari segi keuntungan mahupun pendapatan berasaskan yuran. Sektor gadai janji juga mencatat peningkatan portfolio daripada RM400 juta kepada hampir RM700 juta” , katanya pada sidang media pencapaian CBP 2025, di ibu negara.
Tambahnya, dana pemegang syer turut meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM1.94 bilion berbanding
RM1.92 bilion tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, bank itu dijangka melancarkan sukuk pertamanya pada suku kedua 2026 dengan nilai sasaran antara RM400 juta hingga RM1 bilion, bergantung kepada keadaan pasaran, keperluan pelabur serta keperluan kecairan bank.