
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok.
- BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus susulan keadaan ekonomi domestik yang terus menggalakkan.
- OPR 2.75 peratus dianggap sesuai untuk menyokong pertumbuhan sambil inflasi kekal stabil dan pasaran buruh kukuh.
- BNM akan memantau risiko luaran dan menilai antara kawalan inflasi dan sokongan pertumbuhan ekoran ketidaktentuan global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pengekalan itu berdasarkan persekitaran semasa ekonomi domestik yang kekal menggalakkan, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
“Kadar OPR 2.75 peratus dilihat sesuai dalam menyokong pertumbuhan ekonomi ketika inflasi masih stabil dan pasaran buruh kukuh.
”Jadi buat masa ini dikira 2.75 peratus itu sesuai dalam konteks ekonomi semasa yang mana inflasi yang kekal stabil, pertumbuhan ekonomi yang masih rancak, pasaran buruh yang berada dalam guna tenaga penuh.
”Maka mungkin tiada keperluan untuk membuat sebarang perubahan terhadap OPR ditambah pula prospek jangkaan risiko penurunan pertumbuhan yang berpunca daripada ekonomi global, maka terdapat keperluan untuk mengekalkan OPR pada paras semasa,” katanya kepada RTM.
Mengulas kesan konflik geopolitik global kepada ekonomi dan dasar monetari negara, katanya sebarang kelembapan pertumbuhan ekonomi global secara langsung akan memberi impak kepada Malaysia.
Beliau berkata dalam keadaan tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan terus memantau perkembangan semasa bagi menilai keutamaan antara mengawal inflasi atau menyokong pertumbuhan ekonomi.
”Pelarasan OPR yang dibuat oleh BNM pada Mei tahun lalu merupakan langkah awal bagi menangani risiko luaran, termasuk kebimbangan terhadap kesan tarif import dan kelembapan ekonomi global”, katanya.