Bank Islam lantik Raja Teh Maimunah sebagai GCEO baharu

Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 1 April 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Teh Maimunah dilantik CEO Kumpulan Bank Islam berkuat kuasa 1 April 2026.
  • Pelantikan hasil proses pencarian rapi dan penilaian teliti oleh Lembaga Pengarah.
  • Beliau dikenal pasti kerana kepimpinan strategik, kecemerlangan operasi dan kepatuhan prinsip Syariah.
  • Memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam perbankan Islam dan beberapa pengiktirafan industri.

Bank Islam dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat selepas proses pencarian yang rapi dan menyeluruh, dengan Lembaga Pengarah telah menilai dengan teliti sekumpulan besar calon yang berkelayakan tinggi.

“Setelah pertimbangan mendalam, Lembaga Pengarah telah memutuskan bahawa Raja Teh Maimunah merupakan calon terbaik untuk memimpin Kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Selain rekod pencapaian dalam kepimpinan strategik dan kecemerlangan operasi yang luas, beliau secara konsisten telah menunjukkan keserasian dengan nilai teras, termasuk pematuhan prinsip-prinsip Syariah yang menjadi asas kepada operasi dan tadbir urus Bank Islam” kata bank itu dalam kenyataan sama.

Pelantikan itu menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed yang bersara awal pada Disember 2025 selepas lebih sedekad menerajui bank berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Bank Islam sebagai perintis kewangan Islam di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, pelantikan Raja Teh Maimunah selaras dengan aspirasi strategik kumpulan untuk memperkukuh kedudukan pasaran, selain memacu inovasi serta memastikan tahap kepatuhan tertinggi terhadap prinsip Syariah dan integriti.

Sebelum menyertai Bank Islam, Raja Teh Maimunah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perbankan dan kewangan Islam.

Pengalaman beliau merangkumi jawatan sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Bhd, selain pernah memegang jawatan kanan di AmBank, Hong Leong Islamic Bank dan Bursa Malaysia. Beliau juga terlibat dalam merintis pelancaran dagangan komoditi patuh Syariah pertama dunia, Bursa Suq Al-Sila’.

Raja Teh Maimunah pernah menerima pengiktirafan sebagai Personaliti Kewangan Islam Terbaik pada 2016 dan Anugerah Ahli Perbankan Wanita Cemerlang ASEAN pada 2025.