
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikatnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM2.36 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
- ASB 2 isytihar pengagihan 5.50 sen seunit, pembayaran RM0.82 bilion kepada lebih 680,141 pemegang unit.
- ASM umum pengagihan 5.00 sen seunit, agihan RM1.54 bilion kepada lebih 786,088 pemegang unit.
- Kedua-dua dana catat pulangan kompetitif, mengatasi penanda aras Maybank 12 bulan 2.18%; pengagihan dilaburkan semula automatik pada 1 April 2026.
PNB menerusi kenyataan memaklumkan, pengagihan itu melibatkan dua dana harga tetap, iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
ASB 2 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit melibatkan pembayaran RM0.82 bilion kepada lebih 680,141 pemegang unit.
Manakala ASM mengumumkan 5.00 sen seunit dengan jumlah agihan RM1.54 bilion kepada lebih 786,088 pemegang unit dengan pegangan 31.22 bilion unit.
Sehingga 24 Mac 2026, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.90 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.64 bilion.
Kedua-dua dana mencatatkan pulangan yang kompetitif dan mampan, dengan pengagihan dividen setara dengan tahun kewangan sebelumnya.
Prestasi itu dicapai walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, dipengaruhi pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata, ketidaktentuan pasaran, serta peningkatan ketegangan geopolitik.
Secara keseluruhan, kadar pulangan bagi ASB 2 dan ASM masing-masing adalah 5.50 peratus dan 5.00 peratus, mengatasi penanda aras deposit tetap 12 bulan Maybank sebanyak 2.18 peratus.
Pengiraan Pengagihan Pendapatan dan Penangguhan Urus Niaga Dana Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.
Pengagihan yang diisytiharkan dana-dana tersebut akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2026.