
KUALA LUMPUR, 28 Januari -Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia terus disokong asas yang kukuh, struktur ekonomi pelbagai serta permintaan domestik yang berdaya tahan.
- Ekonomi Malaysia kukuh disokong kepelbagaian sektor dan pasaran eksport, mengurangkan kebergantungan pada satu industri atau rakan dagang.
- Penggunaan, pelaburan, eksport dan pemulihan pelancongan mendorong prestasi ekonomi yang melebihi jangkaan tahun lalu.
- Dasar fiskal berperingkat dan inisiatif seperti NETR, NIMP dan NSS memberi isyarat jelas kepada pelabur.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kepelbagaian sektor dan pasaran eksport mengurangkan kebergantungan negara kepada satu industri atau rakan dagang tertentu.
“Kita tidak hanya berdagang dengan satu negara, sebaliknya dengan banyak ekonomi lain.
Tiada satu negara yang menyumbang lebih daripada 15 peratus eksport Malaysia dan ini membuktikan ekonomi kita bersifat pelbagai,” katanya.
Beliau berkata, prestasi ekonomi tahun lalu mengatasi jangkaan, dipacu penggunaan, pelaburan, eksport serta pemulihan sektor pelancongan.
Mengulas dasar fiskal, beliau menjelaskan, langkah rasionalisasi subsidi bahan api, elektrik, air dan diesel dilaksanakan secara berperingkat tanpa menjejaskan pertumbuhan.
Datuk Seri Abdul Rasheed turut menyifatkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sebagai isyarat dasar yang jelas kepada pelabur.