
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Berbelanja secara berhemat menjelang Aidilfitri penting bagi mengelak risiko berhutang yang boleh membawa kepada muflis pada usia muda.
- Bahagikan gaji kepada tiga 'bank': 50% keperluan, 30% kehendak, 20% simpanan untuk kawal perbelanjaan.
- Semasa berbelanja Aidilfitri, fokus hanya kepada wang dari bank kehendak agar tidak ganggu simpanan.
- Catat setiap hutang dan lakukan audit kewangan supaya jelas jumlah sebenar dan tindakan perlu diambil.
- Rujuk perunding kewangan dan manfaatkan khidmat AKPK untuk nasihat percuma dan bantuan penyusunan semula hutang.
Perunding Kewangan Adam Zubir menyarankan golongan berkenaan membahagikan pendapatan mengikut kategori iaitu keperluan, kehendak dan simpanan demi memastikan kestabilan kewangan dan mengelak pembaziran.
“Setiap gaji perlu dipecahkan dan diagihkan ke dalam tiga ‘bank’ berbeza. Bank pertama untuk keperluan, kedua untuk kehendak, dan ketiga untuk simpanan. Cadangan pembahagian adalah 50 peratus untuk keperluan, 30 peratus untuk kehendak, dan 20 peratus untuk simpanan. Semasa berbelanja raya, fokus hanya kepada wang dari bank kehendak,” katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Tambah beliau, golongan ini juga perlu merekodkan setiap butiran hutang dan melakukan audit kewangan bagi mengetahui jumlah hutang sebenar dan tindakan yang perlu diambil.
“Maksudnya, tulis semua hutang dalam satu senarai supaya jelas jumlah sebenar. Ramai anak muda tidak menyedari berapa banyak hutang yang mereka miliki. Akibatnya, mereka rasa sesak apabila perlu membayar komitmen bulanan tetapi tiada arah penyelesaian,” katanya lagi.
Jelas beliau, nasihat daripada perunding kewangan juga turut membantu dalam memberikan nilai tambah ilmu dan teknik yang berkesan untuk menyelesaikan hutang.
Khidmat bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga boleh dimanfaatkan, di mana agensi itu menawarkan nasihat percuma serta membantu individu mengurus dan menstruktur semula hutang.