Agenda penskalaan strategi pacu sumbangan KDNK bumiputera

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

PETALING JAYA, 11 Februari Agenda penskalaan akan menjadi strategi utama dalam melonjakkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera sebanyak 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agenda penskalaan PKS bumiputera ditetapkan untuk tingkatkan sumbangan kepada KDNK kepada 15 peratus menjelang 2035.
  • Kerajaan memacu inisiatif PuTERA35 melalui kerjasama ekosistem termasuk GLC dan GLIC untuk transformasi PKS.
  • Fokus RMK13 pada 11 sektor berpotensi, pembiayaan ekuiti dan dana pemangkin untuk bawa PKS ke skala besar dan eksport.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ketika ini sumbangan syarikat bumiputera kepada KDNK masih berada pada tahap sederhana, sekitar 8.1 peratus.

”Ini menuntut tindakan yang lebih berani dan tersasar untuk memperkukuh penyertaan bumiputera dalam sektor bernilai tinggi, rantaian nilai strategik dan industri berintensif teknologi.

”Oleh itu, Kerajaan sedang memperhebat inisiatif penskalaan PKS dan GEAR-uP Bumiputera berdasarkan konsep perlumbaan relay yang bukan bergerak sendirian, tetapi disambut dan dipacu bersama ekosistem melalui kerjasama strategik daripada GLC dan GLIC,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis TERAJU Aspirasi Outreach 2026 di sini.

Hasil inisiatif penskalaan bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35), dua syarikat bumiputera iaitu SumiSaujana Group Berhad dan Orkim Berhad telah berjaya disenaraikan Bursa Malaysia dalam tempoh setahun pelaksanaan pelan itu.

Pendapatan purata bulanan bumiputera pula meningkat daripada RM7,599 pada 2022 kepada RM8,220 pada 2024 manakala kadar kemiskinan berkurang kepada 6.6 peratus.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), tumpuan khusus diberikan kepada usahawan Bumiputera terutamanya 11 sektor berpotensi serta industri berpertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV).

Ia termasuk pengukuhan pembiayaan ekuiti dan dana pemangkin bagi mempercepat transformasi PKS kepada syarikat berskala besar dan berorientasikan eksport.