fb fb fb fb fb

Zulhijah: Lihat anak bulan pada 27 Mei 2025

- Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Mei - Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada petang 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja menyatakan, ia melibatkan 29 lokasi di seluruh negara.

"Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Awal Zulhijah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab," menurut kenyataan itu.

Penetapan tarikh 1 Zulhijah akan diisytiharkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam hari sama melalui siaran radio dan televisyen.

Lokasi melihat anak bulan Zulhijah tahun ini termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka dan Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan.

Di Selangor pula membabitkan Bukit Melawati; Bukit Jugra; dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi di Kedah ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; serta Menara Alor Setar.

Manakala di Terengganu melibatkan Bukit Besar; Bukit Geliga; Pulau Perhentian; dan Balai Cerap KUSZA.

Di Kelantan, lokasinya ialah Bukit Peraksi; Bukit Kampung Tembeling; dan Menara Bangunan SEDC; sementara di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Pusat Falak Bintulu.

Lokasi melihat anak bulan di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; manakala di Pahang pula Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Brinchang, Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR