SEPANG, 4 Oktober - Pelakon popular, Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin mengaku bersalah dan didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada Mac lalu.
Zul membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Zul, 36, didakwa membuat penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi akaun Instagram zul_ariffin dengan niat menyakiti hati orang lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala tertuduh diwakili peguam P. Sivaram.
Hakim Noorhisham menjatuhkan hukuman denda RM30,000, dan jika gagal membayar akan dikenakan hukuman penjara sembilan bulan.
Pada awal tahun lalu, Zul menimbulkan kontroversi apabila didakwa memuat naik video 'babak panas' bersama seorang pelakon wanita sebagai tujuan untuk promosi sebuah drama bersiri dalam Instagram pada Mac lalu.
Tertuduh juga telah bertindak pantas dengan memadam segera kandungan tersebut pada 19 Mac 2022.