TAPAH, 8 April- Program Ziarah Kasih MADANI bukan sekadar tertumpu kepada penyampaian bantuan atau pelaksanaan aktiviti berbentuk kebajikan semata-mata.
Sebaliknya, menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, adalah untuk menyelami sendiri realiti kehidupan rakyat serta memahami cabaran dan permasalahan yang mereka hadapi secara lebih dekat.
"Ini juga sebahagian daripada tinjauan kita untuk memastikan bahawa program seumpamanya pembasmian kemiskinan tegar itu betul-betul berlangsung.
Ini kerana kita dapat maklum balas atau pun respon secara langsung daripada penduduk dan masyarakat khususnya di kawasan desa," kata Muhammad Kamil kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui ketika menyantuni penduduk sekitar DUN Ayer Kuning, Muhammad Kamil turut menyangkal dakwaan bahawa Program Ziarah Kasih MADANI merupakan acara berunsur politik.
Jelasnya, bantuan disalurkan tanpa mengira latar belakang atau ideologi politik penerima.