(Fahmi Fadzil)
BESTARI JAYA, 30 Julai- Program 'Ziarah Kasih' dilihat wajar dikembangkan sebagai salah satu program di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, program itu dilihat medium menyantun dan membantu rakyat yang memerlukan, selain sebagai platform meneliti isu liputan internet di kawasan terlibat.
"Saya lihat memang wajar, bawah kementerian, kita kembang luaskan sambil kita selesaikan isu internet, isu kebajikan juga kita beri sedikit perhatian. Jadi bila saya sendiri datang dan lihat keadaan, memang ada beberapa perkara yang perlu dipercepat.
"Sekarang ini, ke mana saya pergi, saya akan buka dan 'check line' (internet), sama ada terdapat 'line' atau tidak. Pada masa sama, kita dapat dapat teliti masalah dihadapi rakyat," katanya pada sidang media selepas program 'Ziarah Kasih' di Kampung Bukit Badong, di sini.
Tambahnya, program seumpama akan diadakan di Sabah dan Sarawak, masing-masing pada 25 Ogos dan 2 September ini.
Menerusi program 'Ziarah Kasih' itu, Fahmi turut disertai calon PH bagi DUN N11 Ijok, Amidi Abdul Manan yang berkesempatan mengunjungi masyarakat serta menghulurkan bantuan berupa sumbangan kerusi roda kepada penduduk memerlukan.
Beliau turut memeriksa liputan dan kelajuan internet di kawasan terbabit, serta mengakui penambahbaikan perlu dilaksana bagi memastikan capaian internet yang lebih baik di Kampung Bukit Badong.
Fahmi telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyelesaikan masalah berkenaan dengan kadar segera.
"Kita dapati di sini ada masalah internet, jadi saya telah minta pihak SKMM untuk segera datang.
"Saya difahamkan penduduk kampung memang sudah tulis (aduan) sejak tahun 2020, tetapi pihak SKMM, saya pun tidak faham kenapa ada kelewatan, kenapa masalah internet ini berlarutan.
"Memang di sini kalau tengok (ada) satu bar (liputan internet) sahaja, jadi ini kronik. Saya lihat, kawasan ini antara diperlukan adalah penyelesaian isu internet. Ini antara perkara yang kita bagi fokus," katanya.
(Fahmi Fadzil (kanan) dan Amidi Abdul Manan)