Zharif Iman kenang nasihat Allahyarham Inspektor Khairil Azhar

Ahli keluarga serta kenalan terdekat diberi peluang menatap buat kali terakhir jenazah pegawai kanan Pasukan 69 Komando (VAT 69), Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin/ BERNAMA

IPOH, 23 Januari – “Kalau nak jadi macam ayah, kena berani dan kuat mental,” itu antara pesanan terakhir Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin kepada anak sulungnya, Zharif Iman, 19 tahun sebelum berangkat menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nasihat terakhir bapa: jadi berani dan kuat mental, serta jaga tanggungjawab terhadap keluarga.
  • Zharif Iman dimaklumkan selepas tamat peperiksaan supaya dapat fokus pada ujian.
  • Hasrat Zharif menyertai pasukan beruniform untuk menyambung semangat khidmat dan pengorbanan ayahnya.

Pemergian pegawai kanan Pasukan 69 Komando itu memberi kesan mendalam kepada keluarga, khususnya Zharif Iman yang sedang menduduki peperiksaan di Kolej Tingkatan Enam Seri Putra (KTESP), Ipoh.

Zharif Iman dimaklumkan mengenai pemergian ayahnya selepas selesai menduduki peperiksaan bagi membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya semasa peperiksaan berlangsung.

“Hari Rabu pada malam itu, saya menghantar ayah saya dan sempat minta sedikit wang daripadanya kerana keesokan harinya saya ada peperiksaan. Ayah pindahkan duit menggunakan QR sebanyak RM50 kepada saya untuk digunakan ke sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Allahyarham Inspektor Khairil Azhar disifatkan sebagai seorang bapa yang tegas dalam mendidik anak-anak, selain sering memberi nasihat dan menekankan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Sebelum kejadian ini, saat terakhir saya naik kereta dengan ayah, memang hanya kami berdua. Saya pergi ke satu tempat dan semasa itu ayah banyak memberi nasihat secara terus kepada saya. Dia (ayah) berpesan, supaya saya menjaga keluarga termasuk adik-adik dan ibu,” katanya.

Zharif Iman turut menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan beruniform pada masa sepan bagi menyambung semangat khidmat dan pengorbanan arwah ayahnya kepada negara. Allahyarham Inspektor Khairil Azhar meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan