
KUALA LUMPUR 14 Mac – Polis mengesahkan penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.
- Polis giat mengesan kedua-dua individu dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
- Siasatan terhadap Zamri mengenai kenyataan perhimpunan 7 Februari dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
- Arahan pertuduhan terhadap Zamri bawah Seksyen 505(b) kerana kenyataan mendatangkan khianat awam; hukuman sehingga dua tahun atau denda.
- Kertas siasatan Tamim mengenai kerosakan soolam dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah bawah Seksyen 295.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Menurut beliau, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua individu berjaya dikesan dan dibawa pulang,” kata Datuk Seri Mohd Khalid menerusi satu kenyataan.