fb fb fb fb fb

Zakat fitrah N.Sembilan ditetapkan antara RM7.50 hingga RM22

FOTO RTM

SEREMBAN, 27 Februari- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM7.50, RM12 dan RM22 berdasarkan jenis beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri itu.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata kadar tersebut ditentukan mengikut harga beras berdasarkan timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.

"Bagi mereka yang makan beras Super Special Tempatan 5%, kadar bayaran adalah RM7.50. Jika makan beras import seperti Wangi, Super Wangi dan Herba Ponni, kadar bayaran ialah RM12.00, manakala bagi mereka yang makan beras Super Basmathi, kadar zakat fitrah ditetapkan pada RM22.00," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Kadar Zakat Fitrah bagi Tahun 1446H/2025M di Menara MAINS di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata seramai 1,250 amil di seluruh negeri akan menggunakan Aplikasi Mobile My Amil Fitrah bagi meningkatkan kecekapan sistem kutipan zakat fitrah.

Aplikasi itu diperkenalkan bagi membantu amil menguruskan kutipan zakat secara dalam talian tanpa memerlukan penggunaan kupon fizikal.

SITI AISHAH MD ISA