
ARAU, 28 Januari – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan RM15,000 sebagai bantuan persekolahan kepada 150 pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan seluruh Perlis.
- YPM memperuntukkan RM15,000 bantuan persekolahan untuk 150 pelajar kurang berkemampuan di Perlis.
- Setiap parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar menerima RM5,000 untuk 50 pelajar.
- Bantuan dilaksanakan berterusan berdasarkan laporan Jabatan Pendidikan Negeri untuk pelajar yang memerlukan.
Daripada keseluruhan bantuan berkenaan, RM5,000 diperuntukkan bagi setiap kawasan parlimen iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar dengan 50 pelajar bagi setiap parlimen.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman, bantuan tersebut sebagai tanda sokongan bagi membantu murid-murid yang kurang berkemampuan memulakan sesi persekolahan baharu 2026 ini.
“Program bantuan berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan laporan diterima Jabatan Pendidikan Negeri yang mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan di setiap sekolah rendah dan menengah,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA bawah Skim Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Arau di sini.
Program dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) dan Wanita UMNO Negeri Perlis.
Penyerahan bantuan pelajaran itu melambangkan komitmen berterusan YPM dalam memastikan akses pendidikan terus diperkukuh, khususnya untuk anak-anak yang memerlukan, memandangkan pendidikan merupakan pelaburan masa depan dan asas dalam membina insan berilmu serta berdaya saing.