
TANJUNG KLING, 19 Februari – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memperuntukkan RM1.8 juta tahun ini untuk diagihkan kepada lebih 12,000 anak yatim berdaftar di bawah yayasan berkenaan.
- YIDE akan mengagihkan sumbangan ibadah puasa dan persiapan Aidilfitri secara berperingkat di enam lokasi di Selangor dan Melaka.
- Lebih 2,000 penerima akan menerima bantuan secara fizikal sepanjang hujung minggu Ramadan di lokasi terpilih.
- Raja Muda Selangor turut menyampaikan wang tunai, beras dan set kain pelekat kepada anak yatim semasa program di RAYSAS.
Pengerusinya, Mazlan Mansor berkata sumbangan bagi ibadah puasa dan persiapan Aidilfitri itu akan diagihkan secara berperingkat bermula hari ini, membabitkan enam lokasi di Selangor dan Melaka termasuk Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSAS).
“Sumbangan tahun ini memerlukan peruntukan kira-kira RM1.8 juta bagi menyantuni lebih 12,000 anak yatim di Selangor.
“Daripada jumlah itu, sekitar 2,000 penerima akan menerima bantuan secara fizikal di enam lokasi tertentu sepanjang hujung minggu Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menyantuni serta menyampaikan sumbangan itu kepada anak yatim RAYSAS di sini hari ini.
Pada program itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM11,400 selain 100 kilogram beras dan set kain pelekat kepada 38 anak yatim di rumah berkenaan.