fb fb fb fb fb

YBR bantu pelajar sekolah terjejas COVID-19

BATU CAVES, 27 Mac - 2,200 murid sekolah rendah dan menengah sekitar Gombak dan Damansara menerima bantuan persekolahan menerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), dengan peruntukan bantuan bernilai RM220,000.

Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata pihaknya komited untuk membantu masyarakat terutamanya golongan B40 dan mereka yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

Beliau menjelaskan sumbangan diberikan bagi meringankan beban kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan mengikut keperluan penerima.

Ia sekali gus diharap dapat memberi suntikan semangat kepada murid meneruskan sesi akademik persekolahan sesi 2022/2023.

"Setiap nama-nama pelajar ni kita dapat dengan kerjasama dan sokongan Pegawai Pendidikan Daerah, terutamanya bagi mereka yang berada dalam golongan B40, kita memahami kepadatan penduduk parlimen Gombak ini tinggi, kita cuba berikan yang terbaik, kita telah memperuntukkan lebih daripada RM3 juta untuk bantuan awal persekolahan ini di seluruh negara.

" Nombor (jumlah) ini masih bertambah dan Insya-Allah saya akan memanggil mesyuarat lembaga pada 31 haribulan ini untuk kita tengok keperluan mencari dana tambahan, untuk kita berikan bantuan ini," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pra Sekolah, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan bantuan persekolahan berbentuk wang tunai berjumlah RM100 setiap murid dan beg sekolah.

Sejak tahun 2018, seramai 66,399 murid telah menerima manfaat menerusi bantuan YBR dengan peruntukan sebanyak RM7.87 juta.


(Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pra Sekolah)

Dalam perkembangan lain, Datuk Wira Megat Zulkarnain memaklumkan YBR menerima hampir 4,000 permohonan bagi Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) yang dibuka semula pada tahun ini.

Permohonan tersebut yang telah ditutup pada 15 Mac lalu dijangka akan dibuka semula bagi mereka yang baru mendapat tawaran pengajian dan tidak berkesempatan untuk memohon.

Bagaimanapun, keputusan lanjut akan diperincikan selepas mesyuarat lembaga dan bakal dimuktamadkan kelak.

"Temuduga sedang dibuat, saringan dibuat oleh kakitangan yayasan dan saya memantau rapat bersama pengurus besar, kita tidak mahu ada yang tertinggal, ada permohonan yang saya terima terus, ada mengutarakan rupanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru sahaja mengemukakan surat tawaran kepada mereka yang layak untuk melanjutkan pengajian sedangkan kita sudah tutup.

"Jadi kita akan tengoklah, 31 haribulan kita akan bincang, kalau kita terpaksa buka khas untuk satu atau dua hari untuk membolehkan pelajar yang dapat tawaran UiTM khususnya baru terima tawaran universiti, bagaimana kita boleh bantu pelajar yang memerlukan bantuan ini," kata beliau.

Media Baharu