fb fb fb fb fb

YAYSH sumbang bantuan persekolahan, Aidilfitri kepada 330 anak yatim

Tuanku Hajah Haminah Hamidun

ALOR SETAR, 28 Februari- Seramai 330 anak-anak yatim di 11 daerah menerima sumbangan persekolahan dan Aidilfitri daripada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) bagi tahun 2024.

Daerah terlibat ialah Baling, Sik, Bandar Baharu, Kulim, Kuala Muda, Pokok Sena, Kubang Pasu, Yan, Pendang, Kota Setar, Padang Terap.
 
Che Puan Besar Kedah Tuanku Hajah Haminah Hamidun berkata, sumbangan diserahkan secara berperingkat di daerah terlibat bermula 22 Februari lalu hingga esok.
 
Kesemua anak-anak yatim berkenaan menerima bantuan berupa kelengkapan sekolah, wang tunai dan hamper.
 
Bantuan tersebut diberikan lebih awal memandangkan sesi persekolahan dan Ramadan akan bermula tidak lama lagi.
 
"Kita tolong meringankan beban mereka yang susah, anak-anak yang ada keluarga, ibu bapa nak makan apa boleh dapat. Tetapi anak yatim kurang kasih sayang, kurang wang ringgit dan penjaga susah.

"Inilah masa untuk kita membantu, kita buat kerana Allah Taala. Anak-anak yang kita bantu pun seronok dan ceria. Alhamdulillah," katanya kepada RTM selepas Majlis Pengurniaan dan Sumbangan Persekolahan serta Aidilfitri Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah 2024 peringkat Daerah Padang Terap di Pejabat Daerah Padang Terap, Kuala Nerang di sini.

Seramai 30 penerima dari Daerah Padang Terap menerima sumbangan daripada Tuanku Hajah Haminah.
 
Ia merupakan acara tahunan yayasan itu bagi membantu anak-anak yatim dari keluarga kurang berkemampuan di negeri itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI