KUANTAN, 10 Oktober - Yayasan Pahang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pengeluar air mineral terkemuka, Bubbles O2 Sdn. Bhd., bagi melaksanakan projek eksplorasi, carigali, pengilangan, pengedaran dan pengkomersialan sumber air bawah tanah di negeri Pahang.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Selangor International Business Summit (SIBS), tengah hari tadi.
Yayasan Pahang menerusi satu kenyataan memaklumkan, kerjasama berkenaan menandakan langkah strategik yayasan itu meneroka potensi baharu dalam sektor industri sumber air.
"Langkah tersebut juga sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk menggalakkan pelaburan baharu serta mempelbagaikan aktiviti ekonomi negeri," menurut kenyataan tersebut.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.