fb fb fb fb fb

Yang di-Pertuan Agong terima mengadap Duta Besar China ke Malaysia

Foto FB Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 April- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima mengadap Duta Besar China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Ouyang Yujing hari ini.

Pertemuan itu bagi membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta isu semasa berkaitan kedua-dua negara.

Dalam sesi mengadap itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan memberikan pandangan mengenai hala tuju hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan keperluan untuk mengenal pasti peluang kerjasama yang lebih luas.

"China merupakan salah satu kuasa ekonomi dunia yang penting dan rakan dagang yang besar kepada Malaysia."

"Seri Paduka Baginda berharap Malaysia menggunakan keupayaan uniknya untuk memanfaatkan dan meningkatkan jumlah dagangan, pertukaran teknologi serta turut mengembangkan eksportnya ke China," titah baginda dalam Facebook rasminya.

Seri Paduka Baginda juga berharap lebih banyak syarikat China akan melabur di Malaysia, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini.

Dalam pertemuan yang sama, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan dengan Hongqi L5, sebuah kereta keluaran China dan Seri Paduka Baginda merupakan pemilik pertama di dunia.

Kereta keluaran FAW Group yang menampilkan rekaan gaya retro itu digunakan oleh pemimpin tertinggi China bagi acara kenegaraan serta diplomatik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM