KUCHING, 20 Januari - ''No comment,'' itu reaksi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berhubung berhubung desas-desus perlantikan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu.
Katanya, perkara itu adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan enggan mengulas lebih lanjut berhubung isu tersebut.
Ini termasuk peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara, semalam.
Ketika ditanya sama ada Sarawak akan mencadangkan nama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak baharu, jelas beliau, ia juga terletak di bawah kuasa mutlak YDPA.
“Tidak, saya katakan saya tidak dapat komen secara terbuka kerana kuasa mutlak adalah di bawah YDPA," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Damai Lagoon Resort di Santubong, hari ini.
Terdahulu, Premier telah merasmikan pembukaan pusat kecantikan dan spa di sebuah pusat peranginan di Santubong, Kuching.
Semalam media melaporkan Wan Junaidi yang juga pemimpin parti GPS dilaporkan bakal menggantikan Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelapan.
Wan Junaidi pada tahun lalu menerima tawaran selaku Speaker Dewan Negara untuk menggantikan Tan Sri Rais Yatim, yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun 2023.