fb fb fb fb fb

YADIM libat pendakwah selebriti bendung buli di sekolah

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom/Foto YADIM

PUTRAJAYA, 12 Ogos - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) komited membendung gejala buli, khususnya di sekolah melalui pendekatan dakwah, kata Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom.

Menurut beliau, langkah berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pendakwah selebriti bagi mendekati generasi muda di sekolah.

“Generasi mudalah yang paling terkesan dengan krisis buli di sekolah. Ia kian menjadi trend membimbangkan dan mesti dibendung dari peringkat awal.

"Justeru, kami akan menggembleng kerjasama dengan tokoh yang diminati remaja termasuk pendakwah selebriti melalui pendekatan dakwah bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Pendekatan Dakwah (SMILED) Siri 3/2025 di Dewan Seroja, di sini, hari ini.

Simposium itu, yang menghimpunkan 250 peserta pelbagai latar, menekankan peningkatan pengetahuan dan solusi kesihatan mental berasaskan pendekatan dakwah melalui sesi panel jemputan.

Antara panel jemputan ialah Dr Fatin Nur Majdina Nordin (Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM) dan Dr Alizi Alias (Konsultan Psikologi Organisasi), selain beberapa ahli akademik berkaitan.

Menurut YADIM, usaha pemerkasaan literasi kesihatan mental melalui SMILED dilaksanakan secara berfasa, termasuk pembangunan modul dengan kerjasama rakan strategik pelbagai agensi.

Tema program, “Sejahtera Jiwa, Hidup Bahagia”, menzahirkan komitmen YADIM memperluas jangkauan dakwah yang mesra belia seiring usaha kerajaan memupuk persekitaran sekolah yang selamat dan berdaya tahan.

GRACE AISYAH KEDAYAN