fb fb fb fb fb

Wisma Putra terus pantau rakyat Malaysia di Bangladesh

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

SUNGKAI, 28 Julai - Berdasarkan Wisma Putra, lebih 40 pelajar Malaysia dan segelintir pekerja profesional masih berada di Bangladesh ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kebanyakannya merupakan pelajar tahun akhir institusi pengajian negara itu.

Katanya, pihak kementerian akan terus berkerjasama dengan Wisma Putra bagi memantau keadaan mereka di sana.

"Dan saya difahamkan bahawa yang di sana sebahagian mereka adalah yang bekerja dalam sektor-sektor tertentu, tidak ramai tetapi yang profesional. Ini bukan pekerja biasa. Dan juga pelajar yang mana mereka berasa bahawa mereka tidak terganggu dengan keadaan yang berlaku di sana," kata Dr Zambry.

Beliau ditemui media ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Malim serta Wanita dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian di Dewan Rajawali Felda Trolak, di sini.

Dr Zambry berkata, 123 rakyat Malaysia yang dibawa pulang sebelum ini khususnya pelajar akan diberikan bantuan kaunseling daripada pihak kementerian.

Pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama-sama pelajar tersebut bagi perancangan seterusnya membabitkan urusan pengajian.

Dalam perkembangan lain Dr Zambry berkata, kabinet memandang serius insiden buli di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berlaku baru-baru ini.

Justeru, bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di setiap universiti dan politeknik telah diarahkan mengambil langkah proaktif mengatasi hal tersebut.

"HEPA universiti-universiti, hal ehwal pelajar telah pun kita arahkan supaya langkah-langkah diambil bagi memastikan supaya perbuatan buli ini tidak berlaku di kampus-kampus sama ada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan termasuk di politeknik," katanya.

TETITIA YUSOFF