PAHANG, 23 Oktober- Wisma Putra sedang menjejak rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, setakat semalam, 313 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
(Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Program Gerai Prihatin Rakyat Peringkat Perikatan
Nasional (PN) Indera Mahkota di Kuantan, di sini hari ini)
Daripada jumlah itu, seramai 255 orang sudah dihantar pulang manakala baki 58 lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara berkenaan sementara menunggu proses pengusiran.
Tambah beliau, walaupun jumlah laporan berkaitan isu itu semakin berkurangan, namun usaha masih diteruskan bagi memastikan tidak ada lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa negara terbabit.
"Seramai 58 masih dalam tahanan di depoh negara berkaitan pada waktu yang sama kita masih menjejak beberapa lagi rakyat Malaysia di laporan hilang atau masih belum dapat diselamatkan pokok pangkalnya kita akan cuba menyelamatkan semua dan tidak seorang pun akan kita biarkan atau tinggal disana," katanya kepada media di Program Gerai Prihatin Rakyat
Peringkat Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Semalam, Wisma Putra melalui satu kenyataan media memaklumkan seramai 10 lagi rakyat Malaysia, mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 11.50 malam tadi dengan menaiki pesawat AK535 dan diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.