fb fb fb fb fb

'Whatsapp Chatbot' dilancar Januari 2025, tangani maklumat palsu

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 27 November- Kemudahan 'Whatsapp Chatbot' akan dilancarkan pada Januari 2025.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan, ia antara langkah bagi menangani penyebaran maklumat palsu.

"Kita dapati banyak daripada bahan yang disebar sekarang ini lagi banyak yang disebar melalui Whatsapp. Maka pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan dalam bulan Januari ini, akhirnya Chatbot dalam Whatsapp akan diluncurkan untuk membantu semua pengguna yang memanfaatkan aplikasi Whatsapp menghantar mesej yang mereka syak adalah bersifat palsu.

"... ataupun mempunyai elemen yang meragukan untuk pengesahan melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI)", katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, usaha turut dilaksanakan menerusi siaran Segmen Biar Betul yang disiarkan di RTM.

"Pada 7.59 setiap malam, satu segmen yang disediakan iaitu segmen Biar Betul, meneliti apa-apa perkara yang didapati bersifat sama ada tidak betul maklumatnya, isi kandungannya ataupun fitnah dan diperbetulkan.

"Jadi, saya sarankan ahli-ahli parlimen untuk melihat setiap malam, 7.59 malam dan juga dipelbagai akaun media sosial Biar Betul. Ini diusahakan sejak daripada tahun lalu" , katanya.

Sementara itu, MCMC telah meminta Facebook menurunkan 249,268 kandungan sepanjang tahun ini dengan 91.6 peratus daripadanya adalah berkaitan judi dalam talian serta penipuan.

Fahmi pada sesi penggulungan berkata sebanyak 172,072 kandungan yang diturunkan melibatkan judi dalam talian manakala 56,136 adalah berkaitan penipuan.

"MCMC tidak boleh mengarahkan (platform media sosial untuk menurunkan kandungan) kerana kita tidak ada kuasa itu dan hanya boleh meminta untuk (kandungan tersebut) diturunkan, terpulang kepada platform untuk menurunkan," katanya.

ROSLINA BINTI DIN